Peserta China muncul juara pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2018

KUALA NERUS – Seorang pelajar dari China, Xu Yang telah dinobatkan sebagai juara kategori antarabangsa dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2018 yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kredit: Bernama

Dalam pertandingan yang diadakan pada Sabtu lalu itu, Xu Yang yang merupakan pelajar jurusan bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Guandong telah berjaya menumpaskan Aurora Jeannot (Universiti Halu Oleo, Indonesia) di tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi oleh Leon Woltermann (Universiti Hamburg, Jerman).

Sementara itu, seorang pelajar tempatan Muhammad Syahmi Akif Jamili (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) muncul juara di dalam kategori Alam Melayu. Tempat kedua pula dimenangi oleh Huda Ahmad (Universiti Islam Sheikh Daud Al-Fatani Yala) dan tempat terakhir pula menjadi milik pelajar Malaysia, Adam Muhammad Taufiq Mohamad Suharto (Universiti Teknologi Mara). Kategori ini melibatkan penyertaan daripada lima negara Asean iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan juga Brunei.

Sajarah Mohd Ali dari Kemboja (UniSZA) pula menggondoli bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia diikuti Nafisa Mayukh dari Bangladesh (UIAM) dan Mahad Mohamed dari United Kingdom (Universiti Malaysia Perlis).

Menurut laporan New Straits Times, seramai 50 peserta daripada 31 buah negara telah menyertai pertandingan ini. Bagaimanapun, hanya sembilan peserta berjaya memarakan diri ke peringkat akhir.

Juara bagi setiap kategori menerima sebuah trofi beserta wang tunai berjumlah RM10,000 dan sijil penyertaan. Naib juara pula membawa pulang trofi dan wang tunai RM8,000 manakala pemenang tempat ketiga menerima trofi dan wang tunai RM5,000.

Kredit: MalaysiaKini

Pertandingan edisi ke-12 tersebut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang turut menyampaikan hadiah kepada para peserta, Timbalan Perdana Menteri Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dr Mohd Gazali Abas.

Sumber: NSTThe Malaysian Insight

Facebook Comments