Syarikat Malaysia cipta pelekat buah-buahan yang boleh menjamin kesegeran sehingga 2 minggu!

Sebuah syarikat tempatan dikenali sebagai Stixfresh telah mencipta sejenis pelekat yang mampu mengekalkan kesegaran dan jangka hayat buah-buahan tertentu sehingga 14 hari lama!

Idea bernas untuk Stixfresh ini muncul apabila rakan Zhafri Zainudin yang merupakan penjual buah-buahan sering merungut kerana tidak memperolehi keuntungan yang banyak memandangkan buah-buahan ini cepat busuk.

Kredit: Stixfresh

“Jika saya tidak boleh menghalang kejadian alam, bolehkah saya memperlahankannya?” fikir Zhafri.

Justeru, bagi menangani masalah pembaziran makanan, Zhafri dan Buquari Othman telah bersama-sama menubuhkan syarikat mereka pada tahun lalu.

Pelekat ciptaan mereka ini merupakan 100% bahan organik dan disaluti dengan sodium klorida serta lilin lebah. Pelekat tersebut juga dijamin dapat memperlahankan proses kematangan buah-buahan dengan menyingkirkan ethylene, sejenis hormon kematangan yang terdapat di dalam bahan makanan segar.

Kredit: Stixfresh

Bukan itu sahaja, pelekat yang boleh dimakan ini juga boleh mengelakkan pertumbuhan aktiviti kulat sekali gus memastikan buah-buahan kekal berjus dan segar.

Bagaimanapun, menurut laporan Vulcan Post, pelekat ini hanya boleh digunakan sekali sahaja dan akan mula kehilangan fungsinya selepas pelekat ini dikopek.

Kredit: Stixfresh

Malah, pelekat ini juga elok digunakan untuk buah-buahan seperti mangga, avokado, betik, buah naga, belimbing, epal dan juga buah pir. Jenama Stixfresh kini dilaporkan beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan dan telah dilancarkan ke Amerika Syarikat pada November lalu.

Kejayaan Stixfresh di dalam Anugerah ASEAN Rice Bowl Startup 2018 untuk Makanan/Agri Tech Terbaik membuatkan syarikat ini mahu meneruskan usaha dan melebarkan sayapnya ke negara Eropah, Afrika, Asia dan juga seluruh benua Amerika!

Kredit: Stixfresh

“Kami juga ingin memperkenalkan konsep baharu untuk buah-buahan yang lebih kecil dengan kulit lembut seperti beri dan lain-lain pada masa hadapan. Kami juga mahu menangani masalah yang sama dihadapi oleh sayur-sayuran,” kata Zhafri.

Sumber: SAYS

Facebook Comments